Jumat, 16 November 2007

CERITA-CERITA ISLAMI KE-3


SEMERBAK IMAN MASYITA

Bercakap fasal iman, saban tahun kita mendengar peristiwa 'israk dan mikraj' khususnya tentang kehebatan iman Masyita, tukang sisir rambut anak Firaun.

Firaun menjadi sombong dan angkuh kerana kebesaran empayarnya dan kehebatan pengaruhnya di kalangan rakyat Mesir. Dia mengaku sebagai tuhan yang agung dan memusuhi sesiapa saja yang bertuhankan selain dirinya. Malahan dia akan membunuh mereka yang tidak mengaku Firaun sebagai tuhan.

Masyita walaupun bekerja di istana Firaun, namun di dalam hati kecilnya tetap bertuhankan Allah yang Maha Berkuasa dan Dialah juga yang menjadikan segala makhluk di muka bumi ini termasuk Firaun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan. Kepercayaan ini dirahsiakannya supaya tidak diketahui oleh Firaun dan sekutunya.

Pada suatu hari, sedang dia menyisir rambut anak Firaun, sikat di tangannya terjatuh. Masyita terlatah dan berkata "Mampus Firaun! " Apabila anak Firaun mendengar kata-kata penghinaan terhadap bapanya, dia berkata, "Kenapa kau berkata begitu terhadap bapaku? Adakah tuhan lain selain bapaku?"

"Memang benar! Tuhanku dan tuhan bapamu ialah Allah." Mendengar kata-kata itu, anak Firaun menjadi marah. "Baik kamu bertaubat, kalau tidak aku akan beritahu bapaku." Masyita bertegas dan mengatakan, "Pergilah kau beritahu bapa kau. Aku tetap dengan pendirianku bahawa tuhan yang sebenarnya ialah Allah."

Sebaik saja Firaun diberitahu oleh anaknya tentang Masyita, dia menjadi murka dan memanggil Masyita. Dia bertanya sama ada benar apa yang dikatakan oleh anaknya itu. Masyita tetap mengatakan Tuhannya ialah Allah. Firaun mengugut untuk membunuh Masyita dan keluarganya sekiranya dia tidak mengubah pendiriannya.

Keesokannya keluarga Masyita dibawa ke satu tempat lapang, berhadapan dengan sebuah kawah besar yang berisi dengan minyak yang sangat panas. Firaun hendak memasukkan kesemua keluarga Masyita termasuk anaknya yang masih kecil ke dalam minyak panas sekiranya Masyita tidak mengaku Firaun sebagai tuhan. Keimanan Masyita tidak luntur meskipun berhadapan dengan ancaman maut.

Melihatkan iman Masyita yang tidak berganjak, Firaun menyuruh askarnya mencampakkan keluarga Masyita seorang demi seorang ke dalam kawah yang besar itu. Apabila sampai giliran anaknya yang kecil, perasaan Masyita menjadi belas dan sebak. Hati siapa tidak sedih melihatkan anak yang disayangi akan dilontar ke dalam kawah yang membuak-buak dengan minyak panas. Masyita meminta supaya dia dicampakkan dulu sebagai ganti kepada anaknya. Tiba-tiba dengan kuasa Tuhan, anaknya yang kecil itu membuka mulut dan berkata, "Ibu, jangan bersedih. Teruskan! Biarkan saya dicampak ke dalam kawah itu." Masyita dan orang-orang di sekeliling terperanjat melihat seorang bayi boleh berkata-kata.

Mendengar kata-kata anaknya itu, Masyita menjadi semakin yakin dan tabah. Dia menghulurkan anaknya untuk dicampakkan ke dalam kawah. Tanpa belas kesihan askar Firaun terus melontarkan anak Masyita ke dalam minyak panas. Selepas itu barulah Masyita dibawa ke tepi kawah yang panas itu lalu dicampakkan ke dalamnya.

Demikianlah hebatnya Masyita mempertahankan kebenaran aqidah sehingga dia dan keluarganya terkorban dibunuh oleh Firaun. Keberanian seorang wanita memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini dirakam dan diingati setiap tahun oleh seluruh manusia. Dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi sampai di satu tempat yang sangat harum. Malaikat Jibril menerangkan bahawa tempat itu ialah tempat bersemadinya Masyita dan keluarganya.

Awas! Mana-mana pemimpin yang bongkak dan mengaku kehebatannya sebagai pemimpin, takbur, sombong dan berlagak sebagai superman yang kuku besi, nyatalah ciri-ciri Firaun yang terkutuk itu sudah diwarisinya. Nauzubillah!

MORAL & IKTIBAR

  • Orang yang mengorbankan jiwa dan raganya demi menegakkan kebenaran diberikan kedudukan yang tinggi di sisi Allah.
  • Bukan lelaki saja yang mempunyai semangat yang kental dan tinggi dalam memperjuangkan kebenaran. Golongan wanita yang dianggap kaum yang lemah juga mempunyai keberanian dengan izin Allah
  • Allah menetapkan hati hamba yang mencari keredhaanNya sehingga seorang bayi mampu bercakap dalam usia yang paling muda. Anak Masyita adalah salah seorang bayi yang boleh bercakap semasa kecil lagi. Contoh lain ialah anak Siti Mariam yang menafikan ibunya melahirkan anak haram.
  • Orang yang Allah tidak kehendaki keimanannya dibiarkan mereka hidup dalam kezaliman sehingga menyangka keburukan sebagai kebaikan dan kebaikan pula dipandang sebagai kejahatan.
  • Manusia jangan menyangka mereka mudah saja dibalas dengan syurga selagi tidak diduga dengan pelbagai musibah dan kesusahan.
  • Dunia adalah tempat bersusah-payah, manakala akhirat ialah tempat kesenangan abadi.
  • Prinsip dan pegangan hidup orang tua-tua, "Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian" seharusnya dijadikan pedoman hidup bagi kita.
  • Manusia yang senang kehidupannya tanpa diduga oleh Allah belum lagi diiktiraf keselamatannya di akhirat
  • Kesenangan di dunia belum boleh dijadikan bukti sebagai tanda Allah menyayangi mereka. Begitu juga kesusahan di dunia bukan menjadi bukti bahawa Allah membenci mereka.
  • Kesenangan di dunia bukan menjadi kayu pengukur kepada kesenangan di akhirat. Kesusahan di dunia pula bukan menjadi kayu pengukur kepada kesusahan di akhirat.

SUCI ZAHIR BATIN

Peristiwa Israk Mikraj adalah rentetan pengalaman Nabi yang sepatutnya menjadi teladan dalam usaha menuju ke jalan Allah. Pada permulaan perjalanan yang penuh mistik ini, Nabi Muhammad dibawa oleh Malaikat Jibril ke telaga zam-zam. Di sana Nabi Muhammad menjalani proses pembedahan. Hatinya dicuci dengan air zam-zam dan kemudian dimasukkan semula bersama dengan iman dan hikmah.

Setelah tamat peringkat penyucian ini, barulah perjalanan israk dan mikraj dimulakan. Sepanjang perjalanan Israk, Nabi menempuh pelbagai pengalaman penuh misteri yang kesemuanya dilaluinya dengan jaya sehinggalah berlaku pertemuan dengan jemaah Nabi dari Adam hinggalah ke akhirnya. Nabi diiktiraf sebagai penghulu segala Nabi apabila beliau terpilih sebagai imam dalam solat jemaah yang didirikan di Baitul Maqdis.

Begitu juga dalam perjalanan Mikraj dari Baitul Maqdis naik hingga ke Sidratul Muntaha melalui tujuh lapisan langit, Nabi berjaya menempuh pelbagai ujian dan rintangan sehingga ke Mustawa. Di sini Malaikat Jibril berhenti kerana tidak mampu melangkah lebih jauh lagi. Nabi Muhammad meneruskan perjalanan bersendirian hingga ke 'Arasy. Inilah kemuncak yang paling agung, di mana Nabi Muhammad menerima perintah solat 50 waktu sehari semalam. Atas nasihat Nabi Musa, Nabi Muhammad merayu kepada Allah untuk dikurangkan sehinggalah menjadi 5 kali sehari semalam.

Inilah mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad saw. sebagai satu pengiktirafan Allah kepada Nabi dan Rasul teragung sepanjang zaman.

MORAL & IKTIBAR

  • Syarat penting untuk menuju ke hadrat Allah ialah penyucian diri zahir dan batin.
  • Pembedahan ini adalah simbolik kepada proses pembersihan jasmani dan rohani. Untuk memulakan sesuatu ibadat perlulah terlebih dahulu bertaubat dari sebarang dosa. Apabila diri bersih dari dosa, barulah segala ibadat diterima Allah.
  • Dalam ibadat solat, misalnya, perkara pertama ialah penyucian dari hadas besar dan kecil. Ini adalah penyucian secara lahir. Dari aspek batin, seseorang perlu bertaubat dan menjauhkan diri dari sifat-sifat mazmumah yang boleh mencederakan pahala ibadat.
  • Untuk memulakan perjalanan menuju kepada Allah, mestilah mendapat bimbingan guru yang mursyid. Mereka merupakan pakar rujuk dalam memberikan bimbingan ke jalan yang lurus.
  • Dalam usaha merawat penyakit lahir, kita sering berjumpa doktor atau tabib. Penyakit lahir hanya membahayakan selagi nyawa ada di badan. Tetapi penyakit yang lebih bahaya ialah penyakit batin seperti ria', takbur, bangga diri, sombong, cinta dunia dan sebagainya yang perlu diberikan rawatan intensif dan segera kerana bahayanya bukan setakat di dunia malah berpanjangan hingga akhirat. Untuk merawat penyakit batin ini, kita perlu merujuk kepada para ustaz, ulama' dan guru yang mursyid. Mereka adalah doktor penyakit batin

ISRA MI'RAJ

Maha Suci Allah yang memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad) pada satu malam dari Masjid Haram ke Masjid Aqsa yang kami berkati sekelilingnya, untuk kami perlihatkan kepadanya tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat. (Surah Bani Israil: 1)

Sempena bulan Rejab yang mulia ini, saya ingin merakamkan kisah yang sangat bermakna lagi simbolik dalam sejarah kemanusiaan iaitu Israk dan Mikraj. Kisah ini merupakan rentetan peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Muhammad saw. secara real sebagai satu anugerah dan penghormatan Allah kepada baginda untuk memberikan satu pengiktirafan yang teragung kepada Penghulu segala nabi dan rasul. Ia juga merupakan satu mukjizat yang tidak diberi kepada mana-mana rasul sebelum ini. Selain itu, ia juga adalah merupakan satu perutusan diraja untuk penyampaian anugerah yang paling agung iaitu solat. Kesemua ibadat seperti zakat, puasa atau haji disampaikan melalui malaikat Jibril, tetapi solat oleh sebab ketinggian darjatnya, ia disampaikan secara langsung melalui satu peristiwa gemilang lagi kudus di antara Rabbul Jalil dengan Nabi Muhammad saw. Inilah detik teragung dan pengalaman yang paling manis buat Nabi Muhammad setelah mengalami tekanan perasaan apabila dua orang penyokong kuatnya iaitu Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib meninggal dunia.

Perlu dinyatakan di sini bahwa oleh kerana kejadian ini berlaku secara 'luarbiasa', kita jangan sekali-kali mempertikaikan kesahehannya. Ia mesti dipandang sebagai satu kebenaran sebab ia adalah mukjizat Allah dan juga termaktub di dalam Al-Quran, sebagaimana yang tercatat di atas. Sebenarnya Israk Mikraj menguji keimanan kita. Mereka yang percaya adalah manusia pilihan Allah manakala yang meragui kebenaran ini termasuk dalam kumpulan Abu Jahal yang mendustakannya. Manusia pertama yang percaya bulat-bulat 100% ialah Saidinia Abu Bakar. Lantas dia digelar As-Siddiq. Perjalanan misteri ini adalah melibatkan jasad dan ruh Nabi Muhammad bukannya ruh saja (seperti dalam mimpi) sepertimana yang didakwa oleh orientalis. Dalam kesempatan ini saya perturunkan kisah tersebut secara agak detail supaya dapat dikongsi bersama dan dijadikan bahan renungan untuk dijadikan iktibar. Yang baik kita jadikan teladan manakala yang buruk kita jadikan sempadan.

Kejadian Isra' (perjalanan dari Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis) dan Mikraj (perjalanan dari alam bumi ke alam langit hingga ke Sidratul Muntaha) ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum hijrah. Ketika itu Nabi sedang berbaring-baring bersama Saidina Hamzah dan Saidina Ja'afar di Hijr Ismail (Masjidil Haram), tiba-tiba datang malaikat Jibril dan Mikail mengangkat Nabi ke telaga Zamzam. Di sana Nabi ditelentangkan dan berlakulah pembedahan di mana dada Nabi dibedah untuk dikeluarkan hatinya. Hati nabi dicuci dengan air zamzam. Kemudian dimasukkan semula bersama unsur ruhani iman dan hikmat. Setelah itu dadanya dijahit dan dimatrikan dengan khatimin nubuwwah. (Kejadian ini menjelaskan kepada kita bahawa peringkat pertama untuk berjalan menuju Allah ialah pembersihan diri dari segi jasmani dan rohani).

Selesai Nabi Muhammad menjalani operasi pembersihan jasmani dan rohani, baginda dipersilakan oleh Jibril untuk menunggang sejenis kenderaan yang amat canggih iaitu Buraq (seekor binatang dari alam malakut yang mempunyai pergerakan yang teramat laju). Mengikut satu riwayat Buraq yang dipilih oleh Jibril ini merupakan satu-satunya haiwan yang mempunyai ciri teristimewa kerana sejak mendengar nama Nabi Muhammad, ia tidak tahan menanggung rindu sehingga tidak lalu untuk makan dan minum, bahkan saban masa duduk menangis tersedu-sedu. (Peristiwa ini menggambarkan kepada kita sedangkan seekor haiwan mempunyai rasa hormat yang amat tinggi terhadap Nabi Muhammad, betapa hal dengan diri kita yang mengaku sebagai umat Muhammad)

Buraq yang dibawa oleh Jibril itu agak liar tetapi bila Jibril mengatakan yang Nabi Muhammad akan naik di belakangnya, badannya berpeluh dan dengan rasa malu merendahkan badannya untuk ditunggang oleh Nabi. Buraq terus membawa Nabi dengan diiringi oleh Jibril di sebelah kanan dan Mikail di sebelah kiri. Maka bermulalah perjalanan yang amat bersejarah.

Beberapa minit perjalanan, sampailah di suatu tempat bernama Thaibah (Medina). Di sini Jibril menyuruh Nabi berhenti untuk melakukan solat 2 rakaat dan memberitahu di sinilah kelak Nabi akan melakukan hijrah. Kemudian perjalanan diteruskan lagi hingga sampai di satu tempat iaitu Bukit Tursina, iaitu tempat di mana Nabi Musa menerima wahyu. Di sini Nabi berhenti untuk melakukan solat dua rakaat. Perhentian seterusnya ialah di Baitul Laham, tempat kelahiran Nabi Isa, di mana Nabi sekali lagi mengerjakan solat. (Peristiwa ini menggambarkan kepada kita tentang perlunya mengerjakan solat sunat apabila singgah di masjid atau di tempat-tempat yang mulia)


Perjalanan diteruskan lagi. Dalam perjalanan ke Baitul Maqdis, Nabi diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa simbolik yang ganjil-ganjil. Setiap kali melihatnya, Jibril menerangkan hakikat sebenar peristiwa tersebut. Di antaranya adalah:

  • Jin Ifrit membawa obor (api) sambil mengejar Nabi dari belakang

Malaikat Jibril ajarkan doa menagkis serangan jin. Apabila Nabi membacanya, jin tersungkur

  • Sekumpulan manusia memecahkan kepala sendiri. Apabila bercantum dipecahkan lagi tanpa henti.

Balasan bagi orang yang tidak mengerjakan sembahyang

  • Sekumpulan manusia memakai cawat dihalau untuk makan buah berduri yang amat pahit atau api neraka.

Balasan bagi mereka yang tidak mengeluarkan zakat

  • Sekumpulan manusia dihidangkan dengan 2 mangkuk berisi daging masak dan daging mentah yang busuk. Mereka memilih daging mentah

Gambaran manusia yang berzina sedangkan mereka mempunyai pasangan yang sah.

  • Beberapa orang tidak berdaya mengangkat seberkas kayu tetapi menambahkan lagi bebanan

Gambaran orang yang diamanahkan sesuatu tugas, walaupun tidak mampu melaksanakannya tapi menerima amanah/tugas lain.

  • Beberapa orang menggunting lidah dan bibir sendiri dengan gunting besi. Apabila bersambung semula digunting lagi tanpa henti.

Perbandingan orang yang menyuruh orang lain berbuat baik tapi dia sendiri tidak melakukannya.

  • Sekumpulan orang berkuku tembaga menggaru muka dan dadanya sendiri sehingga habis daging, namun masih menggaru lagi.

Gambaran orang yang mengumpat dan membuka rahsia orang kepada orang lain serta menjatuhkan maruah mereka.

  • Seekor lembu keluar dari satu lubang yang sempit, kemudian cuba masuk semula ke lubang itu tetapi tidak boleh.

Gambaran pasangan lelaki dan perempuan asing berbual perkara lucah, kemudian menyesal tapi tidak mampu menarik perkataannya.

  • Seorang lelaki datang dari arah kanan Nabi meminta Nabi berhenti seolah-olah hendak bertanya sesuatu.

Seruan orang Yahudi. Jibril menerangkan jika Nabi melayan, nescaya ramai umatnya menjadi Yahudi

  • Seorang lagi datang dari arah kiri merayu Nabi supaya berhenti

Seruan orang Nasrani menghalang sebaran Islam

  • Seorang wanita dengan perhiasan yang sarat meminta Nabi berhenti

Gambaran tipu daya dunia. Jika Nabi menjawab ramai akan terpesona dengan keduniaan.

  • Orang tua duduk di tepi jalan seraya menyuruh Nabi berhenti

Seruan Iblis cuba menghalang usaha dakwah

  • Seorang wanita bongkok tiga menahan Nabi untuk bertanya sesuatu

Gambaran umur dunia yang sangat tua dan tunggu saat untuk kiamat

  • Nabi tercium bau yang amat harum

Tempat Mashitah dibunuh kerana mempertahankan keimanannya sehingga dia dan keluarga menjadi mangsa kepada Firaun.

  • Kayu merentangi jalan sehingga menyukakan orang lalu-lalang

Gambaran orang yang suka berpeleseran dan melepak

  • Sekumpulan orang berenang di dalam sungai darah. Mereka dilempar dengan batu. Batu-batu itu diambil dan dimakannya.

Gambaran orang yang makan riba'

  • Sekumpulan manusia menanam gandum. Sesaat kemudian berbuah dan dituai.

Gambaran orang yang suka membelanjakan harta untuk perjuangan menegakkan kalimah Allah.


Selepas menyaksikan pelbagai jenis panorama, akhirnya sampailah mereka di Baitul Maqdis. Di sana telah menanti satu jemaah para nabi terdahulu. Nabi Muhammad saw solat tahyatul masjid dan Jibril menyuruh Nabi mengimami solat bersama barisan nabi terdahulu.

Kemudian Nabi dihidangkan dengan tiga gelas minuman berisi susu, arak dan madu. Nabi memilih gelas berisi susu, minuman fitrah manusia.

Selesai upacara Israk, sampai ketika Nabi Muhammad diMikrajkan. Sejenis tangga yang canggih seakan escalator membawa Nabi ke angkasa. Maka bermulalah episod mikraj dari langit pertama hingga ke tujuh dan kemudiannya ke Sidaratul Muntaha. Setiap kali melalui lapisan langit, Jibril memberi salam dan sebaik Malaikat penjaga langit membuka pintu, Nabi Muhammad saw diperkenalkan dengan nabi yang sedia menunggu di situ. Kesemua nabi mendoakan kesejahteraan ke atas Nabi Muhammad.

Langit pertama Nabi berjumpa Nabi Adam, bapa segala manusia.

Langit kedua Berjumpa dengan Nabi Isa dan Yahya.

Langit ketiga Berjumpa dengan Nabi Yusuf

Langit keempat Berjumpa dengan Nabi Idris

Langit kelima Berjumpa dengan Nabi Harun

Langit keenam Berjumpa dengan Nabi Musa

Langit ketujuh Berjumpa dengan Nabi Ibrahim


Pelajaran dari Isra dam Mi'raj (2)

SOLAT TAHYAT MASJID
Selepas Jibril melakukan pembedahan ke atas Nabi, maka bermulalah perjalanan yang amat bersejarah. Sebentar kemudian, Nabi pun sampai di Kota Thaibah yang sekarang dipanggil Madinah.

Di sini baginda bersama Jibril turun untuk melakukan solat sunat dua rakaat. Jibril menerangkan bahawa di sinilah tempat Nabi Muhammad akan berhijrah. Seterusnya baginda berhenti di Madain, tempat Nabi Musa mendengar kalam Allah yang qadim. Selepas itu Nabi Muhammad berhenti di Baitul Laham, tempat Nabi Isa dilahirkan.

Begitu juga apabila sampai di Baitul Maqdis, Nabi Muhammad bersua dengan para nabi terdahulu. Nabi Muhammad diberi kehormatan mengimami solat jemaah.

MORAL & IKTIBAR

  • Jika kita dalam musafir seeloknya kita singgah di masjid-masjid untuk mengambil keberkatan. Masjid adalah 'rumah Allah' yang merupakan tempat turunnya rahmat Allah. Melakukan solat sunat tahiyatul masjid adalah untuk memuliakannya.
  • Adalah sunat bagi musafir memulakan perjalanan dari masjid dan semasa kembali singgah di masjid untuk melakukan solat tahyat masjid sebelum balik ke rumah.
  • Menziarahi orang-orang soleh adalah satu amal kebajikan kerana para solihin dan aulia adalah kekasih Allah.
  • Sekiranya hendak bermusafir, eloklah jangan bersendirian. Carilah kawan untuk dijadikan teman perjalanan

Tidak ada komentar: